Cara-Cara Membayar Balik Pinjaman PTPTN

Jika dahulu kita meminjam untuk meneruskan pengajian, apabila tamat haruslah kita membayar balik pinjaman PTPTN. Hal ini kerana, dana yang kita bayar tadi itu, mungkin akan digunakan kepada orang lain yang memerlukan seperti anda dahulu. Dah adat berhutang, mestilah kena bayar kan. Namun macamana untuk membayar balik pinjaman PTPTN ini? Untuk entri kali ini, kami kongsikan cara-cara untuk membayar balik pinjaman anda.

Bayaran Balik Pinjaman

Peminjam bertanggungjawab untuk membayar balik jumlah pinjaman PTPTN yang dikeluarkan kepadanya termasuk kos-kos lain seperti kos upah, perlindungan takaful, cukai Setem Hasil dan lain-lain bayaran seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Tawaran Pembiayaan.

\

Tempoh Mula Bayaran Balik Pinjaman

  1. Peminjam hendaklah membuat bayaran balik pinjaman selepas 6 bulan tamat pengajian TANPA perlu menunggu Notis Bayaran Balik daripada PTPTN.
  2. Kos upah (Ujrah) secara bulanan akan dikenakan bermula pada bulan ke 7.
  3. Peminjam yang membuat bayaran balik lebih awal tidak akan dikenakan kos upah dalam tempoh 6 bulan tersebut.
  4. Tempoh bayaran balik bagi peminjam yang membuat pertukaran Ujrah adalah berdasarkan baki pinjaman.

Bagaimana Mahu Membayar Balik Pinjaman PTPTN?

Ada 6 saluran untuk membayar balik

  • Bayaran di Kaunter/Ejen Pungutan
  • Bayaran Secara Online
  • Potongan Gaji
  • Direct Debit
  • Pengeluaran Akaun 2 KWSP
  • Kiosk Payquick

Untuk keterangan lanjut saluran pembayaran anda boleh pergi ke pautaun INI.

Pengecualian Bayaran Balik

Bagi anda yang memprolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama, anda layak untuk mendapat pengecualian bayaran balik.

Penangguhan Bayaran Balik

Anda juga boleh membuat penangguhan bayaran balik PTPTN sekiranya anda mempunyai kriteria-kriteria seperti berikut:

  1. Peminjam yang telah menamatkan pengajian terdahulu dan menyambung semula pengajian secara sepenuh masa.
  2. Peminjam yang mengikuti kursus berkembar secara 2+1 atau 2+2 yang memerlukan peminjam tersebut meneruskan pengajian di luar negara.
  3. Peminjam yang menambah tempoh pengajian (Extend Semester).
  4. Peminjam yang telah menamatkan pengajian tetapi masih belum bekerja (tiada pendapatan). Tempoh maksima yang dibenarkan adalah 24 bulan dari tarikh mula bayar balik pinjaman.
  5. Peminjam yang menerima penajaan lain, Penangguhan hanya boleh dipertimbangkan setelah membayar keseluruhan jumlah tajaan yang bertindih.
  6. Peminjam yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan, penangguhan hanya dipertimbangkan setelah kos guaman diselesaikan.

Penjadualan Dan Penstrukturan Semula Pinjaman

Anda juga boleh membuat penstukturan semula bayaran pinjaman anda. Kaedah penstrukturan semula memberi kemudahan kepada peminjam untuk mengubah struktur Jadual Bayaran Balik (JBB) dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam.

Melalui kaedah ini, tempoh bayaran balik boleh dipanjangkan sehingga peminjam mencapai umur 60 tahun. Ansuran bulanan minimum ditetapkan berdasarkan anggaran penentuan 5% – 8% daripada jumlah pendapatan kasar, tertakluk kepada kelayakan tempoh bayaran balik dan kelulusan PTPTN.

Syarat- syarat Umum Permohonan Penstrukturan/ Penjadualan Semula

    1. Terbuka kepada pembiayaan Ujrah sahaja. Peminjam konvensional boleh memohon penstrukturan/ penjadualan semula semasa permohonan pertukaran Ujrah.
    2. Berkuatkuasa 1 Julai 2015, bagi permohonan penstrukturan semula, peminjam perlu menjelaskan sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah tunggakan, serta kos pelbagai (jika ada) terlebih dahulu seperti kos penguatkuasaan, WPP (sekiranya tidak dijelaskan akan dikira sebagai prinsipal baru), hutang duti setem, hutang takaful dan yuran pemprosesan.
    3. Permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa, KECUALI dalam tempoh 27 haribulan bulan semasa hingga 5 haribulan bulan berikutnya.
    4. Tiada caj pemprosesan dikenakan bagi penstrukturan/ penjadualan semula pada kali pertama, manakala bagi kali kedua dan seterusnya, caj yang dikenakan adalah seperti berikut
      1. Kali kedua : RM50;
      2. Kali ketiga : RM100;
      3. Kali keempat : RM150; dan
      4. Kali kelima dan seterusnya : RM200

Peminjam yang ingin memohon penstrukturan/penjadualan semula dikehendaki hadir sendiri ke mana-mana kaunter PTPTN untuk memudahkan rundingan, penjelasan dan penerimaan dokumen tawaran

Tindakan Penguatkuasaan Senarai Hitam Imigresen

  1. Peminjam boleh disenarai hitam jika masih ingkar membuat bayaran balik pinjaman atau mempunyai tunggakan.
  2. Tindakan senarai hitam dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyebabkan peminjam tidak dibenarkan memperbaharui passport dan/atau  dihalang daripada ke luar negara.
  3. Peminjam dikehendaki membayarkeseluruhan hutang pinjaman atau keseluruhan tunggakan termasuk semua kos yang dikenakan sebelum nama mereka dikeluarkan daripada senarai hitam. Sekiranya tidak mampu, peminjam boleh berunding dengan PTPTN bagi membuat bayaran apa-apa jumlah yang dipersetujui oleh PTPTN dan penstrukturan semula pinjaman atau kaedah lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
  4. Semakan senarai hitam boleh dilakukan melalui saluran berikut:
  • Portal Rasmi PTPTN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) – Semakan Senarai Hitam
  • Careline PTPTN di talian 03-2193 3000.
  • Hadir di kaunter PTPTN / JIM

Penyenaraian Peminjam Dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS)

Semua peminjam yang sepatutnya membuat bayaran balik selepas 6 bulan tamat tempoh pinjaman akan disenaraikan dalam CCRIS.

Semakan hendaklah dibuat secara terus di kaunter dan kiosk mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia (BNM) sahaja.

Peminjam perlu membuat bayaran secara konsisten mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan oleh PTPTNbagi mengelakkan tunggakan demi memastikan rekod CCRIS berada dalam keadaan baik. Sekiranya rekod di CCRIS menunjukkan terdapat sebarang bulan tunggakan, berkemungkinan permohonan pinjaman tidak dipertimbangkan oleh institusi kewangan. Walau bagaimanapun, kelulusan sesuatu pinjaman yang dipohon adalah tertakluk kepada budi bicara dan bidang kuasa institusi kewangan tersebut.

Semua rundingan mengenai pinjaman PTPTN sama ada penyelesaian hutang pinjaman atau penstrukturan semula pinjaman hendaklah dibuat dengan PTPTN melalui saluran berikut:

  1. Careline PTPTN
  2. Hubungi Eksekutif Pemasaran atau hadir ke cawangan PTPTN

Kesimpulan

Bagi anda yang meminjam, haruslah melaksanakan tanggunjawab and untuk membayar balik pinhaman PTPTN. Hal ini dapat mengelakkan anda daripada dikenakan sekatan oleh Imigresen dan disenaraikan di dalam rekod CCRIS. Kedua perkara ini lebih rumit dari apa yang anda fikirkan. Lari daripada hutang bukanlah satu perkara yang elok. Jikalau tidak mampu bayar mengikut amaun yang ditetapkan, maka berjumpalah dengan pegawai PTPTN untuk penstrukturan hutang pinjaman anda. Apa yang penting adalah anda membayar balik pinjaman PTPTN anda itu.

Leave a Reply