Cara-Cara Buka Akaun SSPN-i

Mulai 1 Januari 2012, para pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan bagi membiayai pengajian mereka di Politeknik, IPTA atau IPTS adalah DIWAJIBKAN buka akaun SSPN-i dengan simpanan minima sepertimana yang ditetapkan oleh PTPTN. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) adalah merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi. Objektif SSPN-I ialah Membudayakan tabiat menabung di kalangan warganegara Malaysia bagi tujuan pendidikan tinggi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

Skim yang ditawarkan adalah patuh Syariah yang menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar” di mana pendeposit melantik PTPTN untuk menguruskan deposit mereka bagi tujuan pelaburan. Pembukaan akaun digalakkan dibuat melalui Maybank, Bank Islam, Agrobank, Bank Rakyat dan RHB Bank bagi mempercepatkan proses. Berikut kami kongsikan cara buka akaun SSPN-i.

\

Pembukaan Akaun SSPN-i

Pembukaan akaun SSPN-i boleh dibuat:

  • Pembukaan akaun secara online. Klik di sini.
  • Kaunter PTPTN
  • Kaunter ejen SSPN-i

Akaun SSPN-i boleh dibuka di kaunter PTPTN dan kaunter ejen SSPN-i di seluruh negara dengan jumlah simpanan minimum RM20.00. Tiada dokumen perlu disertakan, bagaimanapun pemohon hendaklah mengisi nombor kad pengenalan pendeposit/ penerima manfaat  pada borang pembukaan akaun. Bagi pembukaan akaun untuk anak angkat di bawah jagaan yang sah, Surat Akuan Berkanun/ Sijil Anak Angkat hendaklah disertakan bagi menikmati keistimewaan pelepasan taksiran cukai dan Geran Sepadan. Hanya Borang Pembukaan Akaun SSPN-i diperlukan.

Proses permohonan pembukaan akaun SSPN-i mengambil masa tidak lebih 14 hari bekerja selepas penerimaan dokumen permohonan yang lengkap.  Untuk urusan yang lebih cepat dan mudah, digalakkan membuat pembukaan akaun di cawangan PTPTN atau di kaunter  Maybank, Bank Islam, Agrobank,Bank Rakyat dan RHB Bank. PTPTN akan menghantar Slip Akuan Pembukaan Akaun SSPN-i kepada pendeposit.

Pelanggan digalakkan berurusan di cawangan PTPTN atau kaunter Maybank, Bank Islam, Agrobank, Bank Rakyat dan RHB Bank bagi mempercepat proses pembukaan akaun.

*Bagi pembukaan akaun untuk anak angkat di bawah jagaan yang sah, Surat Perakuan Berkanun/ Sijil Anak Angkat hendaklah disertakan bagi menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan dan Geran Sepadan.

Syarat – syarat Pembukaan Akaun SSPN-i

  1. Pendeposit dan penerima manfaat kepada akaun SSPN-ihendaklah warganegara Malaysia;
  2. Pendeposit boleh juga membuka akaun untuk dirinya sendiri;
  3. Setiap pendeposit hanya boleh membuka satu akaun untuk setiap penerima manfaat yang sama;
  4. Penerima manfaat mestilah berumur antara 1 hari sehingga sebelum mencapai umur 29 tahun;
  5. Penerima manfaat yang telah mempunyai akaun yang dibuka oleh seseorang pendeposit boleh membuka akaun bagi dirinya sendiri atau membuka akaun untuk warganegara Malaysia yang lain. Ini bermakna seorang penerima manfaat pada masa yang sama boleh menjadi pendeposit; dan
  6. Pendeposit yang berbeza boleh membuka akaun SSPN-ibagi penerima manfaat yang sama dan tiada had bilangan akaun bagi setiap penerima manfaat

Keistimewaan menyimpan dengan SSPN-i

SSPN-i menawarkan keistimewaan berikut:

  1. Pelepasan taksiran cukai hingga RM6,000.00 setahun berdasarkan simpanan bersih tahun semasa.
  2. Perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000.00 dan ke atas.
  3. Kadar dividen yang kompetitif dan dikecualikan cukai pendapatan.
  4. Pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000.00 untuk satu keluarga yang layak.*
  5. Simpanan dijamin oleh kerajaan.
  6. Layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN.
  7. Kemudahan menyimpan di cawangan PTPTN dan lebih 3000 cawangan ejen SSPN-i

Berikut kami kongsikan cara buka akaun SSPN-i. Untuk maklumat lanjut anda bolehlah merujuk kepada laman web PTPTN.

Baca Juga : Cara-Cara Membayar Balik Pinjaman PTPTN

Leave a Reply