Cara-Cara Mengira Zakat Pendapatan

Pada entri kali ini, kami kongsikan cara untuk mengira zakat pendapatan. Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan). Konsep al-mal al-mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan dari hasil usaha tanpa sebarang proses pertukaran (jual-beli), secara ringkasnya ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.

Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Ini kerana pendapatan merupakan sebuah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan terutamanya bagi seseorang yang menyandang jawatan-jawatan profesional atau peringkat tinggi dalam sesebuah organisasi. Ia juga antara aktiviti perekonomian utama pada zaman ini, apatah lagi profesion “makan gaji” sudah menjadi lumrah dalam kehidupan sekarang.

\

Cara-Cara Mengira Zakat Pendapatan

Cara-Cara mengira zakat pendapatan

DALIL ZAKAT PENDAPATAN

Kewajipan zakat pendapatan telah diasaskan oleh beberapa dalil. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman (yang bermaksud):

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” [Al-Baqarah (2): 267]

Dalam sebuah Hadis (yang bermaksud):Telah diceritakan oleh Said Bin Abi Burdah dari bapanya dari datuknya dari Nabi SAW bersabda:

“Sedekah ditekankan atas setiap Muslim” Lalu para Sahabat bertanya: “Wahai Nabi Allah, bagaimana dengan orang yang tidak mendapatkan (sesuatu untuk disedekahkan)?” Beliau menjawab: “Dia beramal dengan tangannya (kerja), sehingga dia bermanfaat bagi dirinya lalu dia bersedekah” (HR Bukhari & Muslim)

Al-athar para Sahabat turut menjadi dalil kewajiban zakat pendapatan. Diriwayatkan daripada Abu Ubayd diterima daripada Hubayrah ibn Yarim, beliau berkata (yang bermaksud):

“Abdullah ibn Mas’ud memberikan kepada kami sebuah bakul yang berisi barang yang bernilai, diambil sebahagiannya untuk membayar zakat.”

NISAB DAN HAUL ZAKAT PENDAPATAN

Nisab zakat pendapatan bersandarkan 85 gram emas. Kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan kasar atau pendapatan bersih.

Pakar-pakar di kalangan ulama kontemporari tidak meletakkan haul sebagai syarat wajib zakat pendapatan.  Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, tidak mensyaratkan haul ke atas zakat pendapatan gaji adalah atas beberapa faktor, antaranya:

  1. Pertama, faktor keumuman nas-nas al-Quran yang mewajibkan orang kaya tentang kewajipan membayar zakat sebagai bukti iman dan kepatuhan seseorang kepada agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat) (Al-Baqarah[2]: 267)”

  1. Mengecualikan syarat haul dalam zakat pendapatan lebih bertepatan dengan konsep keadilan. Ini kerana dengan mengenakan syarat haul, bermakna sistem zakat memberi kesempatan kepada orang-orang kaya untuk mengelakkan diri daripada membayar zakat. Hal ini terjadi apabila sesiapa yang boros berbelanja boleh menggunakan alasan tidak mempunyai wang yang berbaki dalam setahun untuk mengeluarkan zakat. Sedangkan sesiapa yang berjimat-cermat dengan menyimpan wang hasil pendapatan dalam setahun dibebankan dengan zakat. Ia sudah tentu tidak mencerminkan keadilan dalam sistem zakat itu sendiri.

Pada masa yang sama tidak mensyaratkan haul lebih meraikan maslahat umat Islam kerana setiap orang kaya akan menanggung keperluan ekonomi masyarakat.

Cara Mengira Zakat Pendapatan

Anda boleh menggunakan kalkulator yang disediakan untuk mengira zakat pendapatan oleh pusat zakat di kawasan masing-masing seperti yang disediakan oleh Pusat zakat Selangor.

Rujukan: Pusat Pungutan Zakat MAIWP

Leave a Reply